17 November 2010

Gelisah berakhirnya zaman pelajar



16 November 2010, 2.30 petang - Setelah terhantarnya tesis akhir ke Fakulti, maka berakhirlah sebuah bahagian dalam hidup. 17 tahun yang dihabiskan dengan mengejar ilmu pengetahuan secara formal boleh dikatakan sampai ke penghujungnya hari ini, walaupun belum secara rasmi. Biasalah, perasaan aku semestinya bercampur baur.

Seperti pelajar moden yang lain, aku telah diprogramkan untuk belajar hingga ke menara gading. Sejak kecil entah sudah berapa kali aku dipesan untuk masuk universiti, baik oleh ibu bapa, guru dan juga kebanyakan orang dewasa. Kononnya universiti adalah simbol kejayaan dan penjamin masa depan. Aku percaya lebih 90%. Dan hari ini, aku telahpun menamatkan pengajian di universiti. Ibu, ayah, cikgu-cikgu, lihatlah.. Sekarang aku seorang graduan universiti. Tapi kenapa masa depan masih kabur dalam penglihatan?

Aku belum menentukan apa untuk dibuat selepas ini. Masih belum mula mencari kerja.. Entahlah, mungkin kerana penat belajar masih ada, Atau mungkin juga kerana takut untuk melangkah ke dunia dewasa. Sebelum ini aku bercadang menyambung pelajaran ke peringkat Sarjana (Masters). Kononnya mahu menjadi pensyarah. Tetapi hasil pandangan beberapa pihak, aku menangguhkan cita-cita tersebut. Apapun aku masih belum ada mood untuk bekerja. Aku mahu menghabiskan cuti tamat belajar ini dengan membaca dan belajar pelbagai benda yang disukai, menonton ratusan filem dan juga meraikan detik-detik akhir sebagai remaja. Mungkin bila sudah rimas dengan pertanyaan “kau dah kerja?” nanti barulah aku dengan serius membina karier. Apapun, aku masih akan terus menuntut ilmu, walau bukan secara formal.

Esok 17 November, Hari Raya Aidiladha. Memang sesuailah rasanya untuk aku meraikan pelbagai pengorbanan sepanjang zaman akademik. Jadi, Salam Aidiladha buat sekalian sahabat. Semoga kita menghargai segala pengorbanan orang lain ke atas kita.

p/s: Ini hanya entri awal. Kesimpulan lebih lanjut tentang zaman akademik mungkin akan ditulis selepas konvokesyen tahun depan.

09 November 2010

Bahana tersalah duga cabaran Broga


Beberapa bulan kebelakangan ini, Broga Hills atau Bukit Broga kerap dinyatakan sebagai destinasi yang mesti dikunjungi. Semalam (8 November 2010), aku akhirnya berpeluang menjejakkan kaki ke bukit yang terletak di Semenyih, Selangor ini. Itupun setelah beberapa kali hasrat ini tertangguh. Bertolak dari Shah Alam jam 4.30 pagi, ekspedisi ini disertai dua buah kereta yang membawa 10 sahabat. Jam 5.20 pagi, tibalah kami di kaki bukit ini. Sebaik tiba, persepsi aku mula berubah. Awalnya aku menyangka Bukit Broga merupakan kawasan yang lengkap dengan kemudahan pelancongan dan cahaya lampu. Sebaliknya, pemandangan kaki Bukit Broga tidak jauh bezanya dengan ladang sawit yang biasa aku lihat di Jengka dahulu. Keadaannya gelap gelita dan menyeramkan.

Menurut cerita sahabatku Firdzus, bukit Broga boleh didaki dengan mudah dan mengambil masa lebih kurang setengah jam sahaja. Pakai selipar pun boleh katanya. Maka berbekalkan keyakinan yang ampuh, aku memakai baju panas, seluar tiga suku dan sandal sukan berjenama Umbro yang sesuai dipakai ke pusat beli-belah. Untuk 10 minit pertama pendakian, jalannya tidak terlalu curam. Aku masih boleh bergurau senda. Minit-minit seterusnya, perjalanan menjadi semakin mencabar dengan tanah yang agak licin dengan laluan yang semakin curam. Di waktu inilah, aku mula terasa menyesal tidak memanaskan badan sebelum mendaki. Walaubagaimanapun, itu hanyalah permulaan.

Aku mula merasa sangat tidak berdaya kira-kira 25 minit selepas mendaki. Tanah yang licin ditambah dengan perasan untuk mengejar orang di hadapan serta risau ditinggalkan amatlah memberi tekanan kepada aku. Sebagai seorang yang jarang bersenam, anggota badan terutamanya tapak kaki dan lutut kurang membantu. Kaki aku terasa amat sakit dan berdenyut-denyut. Dan pada suatu pendakian, aku tergelicir dan terjatuh ke belakang seperti sebiji tembikai dicampak ke tanah. Sakit di belakang bahu membuatkan segalanya bertambah sukar. Ketika itulah aku menghadapi cabaran mental yang sangat dahsyat. Tidak henti-henti aku menyesal memberi idea untuk ekspedisi Broga itu, amat-amat menyesal. Tiada perkara yang lebih aku ingini ketika itu melainkan dapat berbaring di atas tilam empuk sambil memeluk bantal. Mujurlah ada dua sahabat iaitu Firdzus dan Syafiq yang menjadi faktor aku meneruskan pendakian. FIrdzus memimpin tangan aku sepanjang 5 minit selepas terjatuh sehingga aku mampu berjalan sendiri sambil memberi sedikit sokongan moral. Agak terharu juga dibuatnya. Dan Syafiq pula, entah kenapa aku terasa sedikit bermotivasi melihatkan dia pun masih mampu meneruskan pendakian walaupun kelihatan sangat berhempas pulas.

Setelah beberapa kali menyumpah diri sendiri kerana tidak memiliki badan seorang atlit, akhirnya aku tiba di puncak Bukit Broga jam 6.30 pagi iaitu kira-kira selepas sejam mendaki. Perasaan ketika itu, lega tetapi tetap tidak stabil. Tidak terasa langsung hendak bergambar walaupun rakan-rakan lain sudah terkinja-kinja keriangan di depan lensa kamera. Perkara pertama yang aku buat adalah berbaring di sebuah batu yang rata. Boleh aku katakan, kejayaan mendaki bukit tersebut merupakan pencapaian fizikal yang paling hebat pernah kubuat sepanjang 22 tahun aku hidup. Sebenarnya Bukit Broga tidaklah terlalu dahsyat, cuma kegelapan malam dan kurangnya persediaan serta sikap memandang enteng akan cabaran tersebut membuatkan segalanya menjadi sukar.

Selepas lebih kurang 10 minit berbaring, mental dan fizikal aku beransur pulih. Ketika itu barulah mula terasa keindahan pemandangan dari bukit yang setinggi 400 meter dari aras laut ini. Nampaklah akan kami hampir segenap bandar dan kampung yang mengelilingi Bukit Broga. Perlahan-lahan pemandangan menjadi semakin jelas sedang kami menunggu terbitnya matahari. Langit yang sangat indah serta udara pagi membawa nyaman yang sudah lama tidak membaluti tubuh.

Selepas kira-kira 45 minit bergambar di puncak Bukit Broga, kami mula menuruni bukit. Kami perlu berada di kaki bukit jam 8 pagi kerana kami bercadang ke Port Dickson bagi melengkapkan ekspedisi kali ini. Walaubagaimanapun, kamera Canon milik Khaidhir menjadikan perjalanan banyak terhenti. Ada sahaja pemandangan menarik, kami akan dipanggil bergambar untuk dimuat naik ke dalam Facebook. Khaidhir juga tidak melepaskan peluang bergambar solo dengan pelbagai gaya dan postur yang dirasakan menarik. Perjalanan menuruni bukit juga tidak kurang cabarannya. Silap langkah, boleh tergolek kerana curamnya laluan. Ini dibuktikan pabila aku terjatuh buat kali kedua. Semuanya gara-gara tergelincir, kaki aku dengan sendirinya berlari laju dalam langkah yang kecil menuruni ketinggian bukit sebelum terjatuh. Aku mendapat kecederaan yang agak memudaratkan di kaki akibat dari kemalangan tersebut. Ketika terjatuh, aku mendengar hilai tawa liar yang kuat dari rakan-rakan di belakang. Kata mereka, aku tidak ubah seperti ikon Nintendo, Mario di dalam permainan popular Mario Bros ketika berlari dengan langkah kecil. Dan sampai balik tidak henti mereka mentertawakan peristiwa tersebut.

Kami terpaksa membatalkan hasrat ke Port Dickson kerana tidak cukup masa dan rancangan awal sedikit terganggu. Walaubagaimanapun sebagai gantinya kami melepaskan gian bermain air di Air Terjun Sungai Tekala. Airnya sangat menyegarkan tetapi kami kurang teruja kerana masing-masing masih lesu hasil dari pendakian Bukit Broga. Lebih kurang sejam lebih membasahkan tubuh, kami pun pulang ke Shah Alam pada jam 1.00 petang. Keseluruhannya, aku berpuas hati dengan ekspedisi kali ini. Walaupun hasrat ke Port Dickson tidak tercapai, pengalaman di Bukit Broga sudah cukup untuk mewarnakan hari aku. Walaubagaimanapun untuk jangka masa terdekat, aku akan berkata ‘tidak’ kepada sebarang aktiviti pendakian.