12 October 2012

Belajar mengenal dan menerima



Dianggarkan ada seramai lebih kurang 6 billion manusia hidup di atas muka bumi pada masa ini. Dan sudah berbillion-billion yang mendahului kita pada masa lampau. Kalau ditanya sepanjang hayat kita berapa ramaikah yang akan kita jumpa dan kenali secara peribadi, saya rasa mungkin angkanya hanya seribu ke dua ribu orang.


Kita manusia hidup bermasyarakat. Lumrah manusia itu hidup saling memerlukan. Kita takkan dapat mengelak berhubung dengan orang lain walau setegas mana kita cuba memencilkan diri. Hubungan itu sesuatu yang pasti, kalau tidak dengan kawan tentu dengan keluarga. Kalau bukan secara verbal dan fizikal tentu ada secara mental. Dan kesan dari hubungan ini, tentu ada saja orang yang kita suka, benci dan tak peduli.
 

Kita akan kenal dengan ramai orang. Ada pelbagai sikap, kecenderungan, bangsa dan agama. Sebelum ini saya menganggap orang yang tidak sehaluan dengan saya dari segi pendirian itu salah, dan orang yang tidak sehaluan dari segi minat itu seleranya rendah. Pendek kata, orang yang macam saya itu saya suka, dan yang tidak itu saya pandang sebelah mata.
 

Setelah tercampaknya saya ke dunia sebenar, dunia dewasa, banyak peristiwa telah mengubah pandangan saya. Kalau dulu saya kerap mengkritik dan mempersendakan sesama manusia, kini saya cuba kenali dulu pendirian dan minat mereka. Kalau dulu saya hanya akan buat apa yang saya minat, kini saya cuba pelbagai benda baru. Saya cuba fahami sebelum saya benci. Dan biasanya bila sudah difahami, akan terhapus rasa benci.
 

Hablum minallah wa hablum minannas. Kalau kita sayangkan Allah, sayanglah sesama saudara kita, manusia. Belajar menerima perbezaan. Jangan sentiasa anggap diri kita watak utama. Dan benarlah seruan Allah supaya kita saling mengenal, kerana itu diciptakan manusia pelbagai jenis. Untuk kita kenali, fahami dan sayangi.

11 October 2012

Kembali gelisah..


Salam sejahtera buat semua,


Hampir tepat apa yang saya ramalkan pada entry sebelum ini - Bahawa mungkin blog ini akan diupdate 3 bulan atau 30 bulan lagi. Setepatnya, saya telah mengabaikan blog ini selama 20 bulan. Tiada apa untuk disalahkan, selain sikap tidak konsisten diri sendiri. Kalau ditanya faktor luaran, mungkin Twitter adalah faktor terbesar.

Twitter, laman sosial ringkas tanpa banyak ikon ini sebenarnya sudah saya langgan sejak dari 2010 lagi. Namun hanya mula aktif menggunakannya sesudah tepu bermain Facebook sekitar pertengahan 2011. Sesudah faham dan serasi dengan Twitter, saya lebih banyak menulis di sana. Kelebihannya, Twitter itu ringkas, dan saya juga sukakan keringkasan dalam menulis. Twitter juga menuntut pengguna menjadi kreatif dalam mematuhi had 140 aksara.

Apa yang berubah dalam 20 bulan ini? Sebenarnya terlalu banyak kalau mahu dihuraikan secara terperinci. Cukuplah untuk mengatakan yang saya telah belajar banyak perkara besar dari alam pekerjaan. Saya rasa saya lebih berdisiplin sekarang. Sikap suka bergantung pada orang dan acuh tak acuh di zaman belajar dulu Alhamdulillah telah berjaya saya minimumkan.

Kerjaya? Sekarang saya menabur bakat dan keringat di sebuah bank tempatan. Ini pekerjaan ketiga saya dalam dua tahun. Wah, generasi Y memang kurang setia dengan majikan kan? Apapun saya sukakan pekerjaan saya sekarang. Walaupun ada beberapa perkara kecil tapi biasalah, tiada majikan yang sempurna.

Baiklah, setakat ini untuk entry kali ini. Saya tak mahu meramal bila saya akan menulis di sini lagi. Kalau jejari dan minda selari berinspirasi, dengan izin tuhan nescaya kembalilah saya.

05 February 2011

Di antara blog ini dan ‘belog’ Hanis Zalikha

Sudah hampir 3 bulan blog ini tidak diupdate. Sebelum ini aku gagal mengakses blogger gara-gara masalah password. Mujurlah beberapa hari lepas aku berjaya mengaktifkan semula menggunakan email alternatif. Tapi kalau masalah tersebut tidak wujud pun, entah berapa banyak entry saja yang terbit dari blog ini. Aku bukanlah penulis yang konsisten dalam melahirkan entry-entry baru. Mungkin sebab itulah blog ini tidak diikuti ramai seperti blog Hanis Zalikha.



Tetapi aku percaya, kalau Hanis Zalikha memiliki rupa fizikal sederhana seperti aku, jumlah pengikut blognya tidak sampai separuh pun dari jumlah sekarang ini. Aku tiada masalah pun dengan beliau jauh sekali mengeluh nasib diri. Aku cuma memberi pendapat tentang realiti fizikal di sisi masyarakat dan Hanis Zalikha hanya sekadar contoh. Walaubagaimanapun memang diakui ramai juga yang mengikuti blog beliau kerana kandungannya yang boleh dikatakan kreatif dan informatif berbanding blog-blog peribadi wanita lain yang sarat dengan kisah-kisah kemanisan jatuh cinta dan kepedihan ditinggalkan kekasih (bukan semua ya, tetapi kebanyakan wanita di Malaysia menitik beratkan emosi diri dalam menulis blog).

Lupakan Hanis Zalikha, topik utama entry kali ini adalah kemarau yang melanda blog Saudara Terpuji ini dalam melahirkan entry-entry baru. Tahun 2010, hanya 19 entry sahaja berjaya diterbitkan. Dulu kesibukan belajar dijadikan alasan. Selepas itu kononnya sibuk mencari rezeki. Sebenarnya ada saja masa lapang, cuma kemalasan aku untuk duduk sambil fokus menaip menjadi sebab utama blog ini kurang subur.

Oleh kerana kebanyakan hos blog adalah percuma, kelahiran blog peribadi secara besar-besaran sejak dua tiga tahun ini tidak dapat dibendung lagi. Semua orang mahu menulis. Ada yang bermotifkan kewangan dan tak kurang juga yang mahukan populariti. Masalah yang timbul adalah bila semua mahu menulis, siapa pula mahu membaca? Apapun, tema politik merupakan tema yang paling popular di Malaysia. Kalau tak percaya, sila tekan ‘Next Blog>>’ pada ruangan atas kiri blog ini atau mana-mana blogspot lain. Pasti tidak sukar untuk berpaut pada blog-blog bertemakan politik.

Bicara tentang politik, aku mahu menulis mengenai politik Malaysia di entry akan datang. Tapi belum pasti bila. Mungkin 3 bulan, atau mungkin 30 bulan lagi.

17 November 2010

Gelisah berakhirnya zaman pelajar



16 November 2010, 2.30 petang - Setelah terhantarnya tesis akhir ke Fakulti, maka berakhirlah sebuah bahagian dalam hidup. 17 tahun yang dihabiskan dengan mengejar ilmu pengetahuan secara formal boleh dikatakan sampai ke penghujungnya hari ini, walaupun belum secara rasmi. Biasalah, perasaan aku semestinya bercampur baur.

Seperti pelajar moden yang lain, aku telah diprogramkan untuk belajar hingga ke menara gading. Sejak kecil entah sudah berapa kali aku dipesan untuk masuk universiti, baik oleh ibu bapa, guru dan juga kebanyakan orang dewasa. Kononnya universiti adalah simbol kejayaan dan penjamin masa depan. Aku percaya lebih 90%. Dan hari ini, aku telahpun menamatkan pengajian di universiti. Ibu, ayah, cikgu-cikgu, lihatlah.. Sekarang aku seorang graduan universiti. Tapi kenapa masa depan masih kabur dalam penglihatan?

Aku belum menentukan apa untuk dibuat selepas ini. Masih belum mula mencari kerja.. Entahlah, mungkin kerana penat belajar masih ada, Atau mungkin juga kerana takut untuk melangkah ke dunia dewasa. Sebelum ini aku bercadang menyambung pelajaran ke peringkat Sarjana (Masters). Kononnya mahu menjadi pensyarah. Tetapi hasil pandangan beberapa pihak, aku menangguhkan cita-cita tersebut. Apapun aku masih belum ada mood untuk bekerja. Aku mahu menghabiskan cuti tamat belajar ini dengan membaca dan belajar pelbagai benda yang disukai, menonton ratusan filem dan juga meraikan detik-detik akhir sebagai remaja. Mungkin bila sudah rimas dengan pertanyaan “kau dah kerja?” nanti barulah aku dengan serius membina karier. Apapun, aku masih akan terus menuntut ilmu, walau bukan secara formal.

Esok 17 November, Hari Raya Aidiladha. Memang sesuailah rasanya untuk aku meraikan pelbagai pengorbanan sepanjang zaman akademik. Jadi, Salam Aidiladha buat sekalian sahabat. Semoga kita menghargai segala pengorbanan orang lain ke atas kita.

p/s: Ini hanya entri awal. Kesimpulan lebih lanjut tentang zaman akademik mungkin akan ditulis selepas konvokesyen tahun depan.

09 November 2010

Bahana tersalah duga cabaran Broga


Beberapa bulan kebelakangan ini, Broga Hills atau Bukit Broga kerap dinyatakan sebagai destinasi yang mesti dikunjungi. Semalam (8 November 2010), aku akhirnya berpeluang menjejakkan kaki ke bukit yang terletak di Semenyih, Selangor ini. Itupun setelah beberapa kali hasrat ini tertangguh. Bertolak dari Shah Alam jam 4.30 pagi, ekspedisi ini disertai dua buah kereta yang membawa 10 sahabat. Jam 5.20 pagi, tibalah kami di kaki bukit ini. Sebaik tiba, persepsi aku mula berubah. Awalnya aku menyangka Bukit Broga merupakan kawasan yang lengkap dengan kemudahan pelancongan dan cahaya lampu. Sebaliknya, pemandangan kaki Bukit Broga tidak jauh bezanya dengan ladang sawit yang biasa aku lihat di Jengka dahulu. Keadaannya gelap gelita dan menyeramkan.

Menurut cerita sahabatku Firdzus, bukit Broga boleh didaki dengan mudah dan mengambil masa lebih kurang setengah jam sahaja. Pakai selipar pun boleh katanya. Maka berbekalkan keyakinan yang ampuh, aku memakai baju panas, seluar tiga suku dan sandal sukan berjenama Umbro yang sesuai dipakai ke pusat beli-belah. Untuk 10 minit pertama pendakian, jalannya tidak terlalu curam. Aku masih boleh bergurau senda. Minit-minit seterusnya, perjalanan menjadi semakin mencabar dengan tanah yang agak licin dengan laluan yang semakin curam. Di waktu inilah, aku mula terasa menyesal tidak memanaskan badan sebelum mendaki. Walaubagaimanapun, itu hanyalah permulaan.

Aku mula merasa sangat tidak berdaya kira-kira 25 minit selepas mendaki. Tanah yang licin ditambah dengan perasan untuk mengejar orang di hadapan serta risau ditinggalkan amatlah memberi tekanan kepada aku. Sebagai seorang yang jarang bersenam, anggota badan terutamanya tapak kaki dan lutut kurang membantu. Kaki aku terasa amat sakit dan berdenyut-denyut. Dan pada suatu pendakian, aku tergelicir dan terjatuh ke belakang seperti sebiji tembikai dicampak ke tanah. Sakit di belakang bahu membuatkan segalanya bertambah sukar. Ketika itulah aku menghadapi cabaran mental yang sangat dahsyat. Tidak henti-henti aku menyesal memberi idea untuk ekspedisi Broga itu, amat-amat menyesal. Tiada perkara yang lebih aku ingini ketika itu melainkan dapat berbaring di atas tilam empuk sambil memeluk bantal. Mujurlah ada dua sahabat iaitu Firdzus dan Syafiq yang menjadi faktor aku meneruskan pendakian. FIrdzus memimpin tangan aku sepanjang 5 minit selepas terjatuh sehingga aku mampu berjalan sendiri sambil memberi sedikit sokongan moral. Agak terharu juga dibuatnya. Dan Syafiq pula, entah kenapa aku terasa sedikit bermotivasi melihatkan dia pun masih mampu meneruskan pendakian walaupun kelihatan sangat berhempas pulas.

Setelah beberapa kali menyumpah diri sendiri kerana tidak memiliki badan seorang atlit, akhirnya aku tiba di puncak Bukit Broga jam 6.30 pagi iaitu kira-kira selepas sejam mendaki. Perasaan ketika itu, lega tetapi tetap tidak stabil. Tidak terasa langsung hendak bergambar walaupun rakan-rakan lain sudah terkinja-kinja keriangan di depan lensa kamera. Perkara pertama yang aku buat adalah berbaring di sebuah batu yang rata. Boleh aku katakan, kejayaan mendaki bukit tersebut merupakan pencapaian fizikal yang paling hebat pernah kubuat sepanjang 22 tahun aku hidup. Sebenarnya Bukit Broga tidaklah terlalu dahsyat, cuma kegelapan malam dan kurangnya persediaan serta sikap memandang enteng akan cabaran tersebut membuatkan segalanya menjadi sukar.

Selepas lebih kurang 10 minit berbaring, mental dan fizikal aku beransur pulih. Ketika itu barulah mula terasa keindahan pemandangan dari bukit yang setinggi 400 meter dari aras laut ini. Nampaklah akan kami hampir segenap bandar dan kampung yang mengelilingi Bukit Broga. Perlahan-lahan pemandangan menjadi semakin jelas sedang kami menunggu terbitnya matahari. Langit yang sangat indah serta udara pagi membawa nyaman yang sudah lama tidak membaluti tubuh.

Selepas kira-kira 45 minit bergambar di puncak Bukit Broga, kami mula menuruni bukit. Kami perlu berada di kaki bukit jam 8 pagi kerana kami bercadang ke Port Dickson bagi melengkapkan ekspedisi kali ini. Walaubagaimanapun, kamera Canon milik Khaidhir menjadikan perjalanan banyak terhenti. Ada sahaja pemandangan menarik, kami akan dipanggil bergambar untuk dimuat naik ke dalam Facebook. Khaidhir juga tidak melepaskan peluang bergambar solo dengan pelbagai gaya dan postur yang dirasakan menarik. Perjalanan menuruni bukit juga tidak kurang cabarannya. Silap langkah, boleh tergolek kerana curamnya laluan. Ini dibuktikan pabila aku terjatuh buat kali kedua. Semuanya gara-gara tergelincir, kaki aku dengan sendirinya berlari laju dalam langkah yang kecil menuruni ketinggian bukit sebelum terjatuh. Aku mendapat kecederaan yang agak memudaratkan di kaki akibat dari kemalangan tersebut. Ketika terjatuh, aku mendengar hilai tawa liar yang kuat dari rakan-rakan di belakang. Kata mereka, aku tidak ubah seperti ikon Nintendo, Mario di dalam permainan popular Mario Bros ketika berlari dengan langkah kecil. Dan sampai balik tidak henti mereka mentertawakan peristiwa tersebut.

Kami terpaksa membatalkan hasrat ke Port Dickson kerana tidak cukup masa dan rancangan awal sedikit terganggu. Walaubagaimanapun sebagai gantinya kami melepaskan gian bermain air di Air Terjun Sungai Tekala. Airnya sangat menyegarkan tetapi kami kurang teruja kerana masing-masing masih lesu hasil dari pendakian Bukit Broga. Lebih kurang sejam lebih membasahkan tubuh, kami pun pulang ke Shah Alam pada jam 1.00 petang. Keseluruhannya, aku berpuas hati dengan ekspedisi kali ini. Walaupun hasrat ke Port Dickson tidak tercapai, pengalaman di Bukit Broga sudah cukup untuk mewarnakan hari aku. Walaubagaimanapun untuk jangka masa terdekat, aku akan berkata ‘tidak’ kepada sebarang aktiviti pendakian.



13 September 2010

Di awal Syawal




Hari ini Isnin, 4 Syawal. Aku ke pejabat, tapi tanpa kerja. Hampir semua pegawai atasan masih menikmati rendang dan segala jenis penggemuk di kampung halaman, sedang di pejabat tinggallah beberapa kerani dan pelatih. Tapi tak mengapa, ini pengalaman. Lagipun sejak satu dua tahun kebelakangan ini entah kenapa Aidilfitri kurang impaknya padaku. Mungkin kerana masih bujang, atau mungkin juga kerana merasa sudah banyak kali aku meraikan Aidilfitri.

Inilah kesempatan untuk aku meluah rasa. Sudah lama aku tidak memasukkan entry baru ke dalam blog ini. Sebelum ini agak sibuk menyiapkan tesis, ditambah lagi dengan tugasan-tugasan pejabat yang hadir tanpa putus seperti ombak. Banyak benda yang boleh dibincangkan, tapi aku tak pasti nak mulakan bagaimana. Aku tak rasa perlunya aku menceritakan pengalaman bersalam-salaman serta saling berkunjungan di Aildilfitri, kerana tiada apa yang baru. Aku mahu menulis tentang konflik Malaysia-Indonesia, tapi bukan hari ini. Tunggulah sehingga ‘mood’ itu sampai.

Tentang kes hartawan kosmetik Sosilawati, tidak banyak boleh aku katakan selain daripada masih ramai manusia yang tidak berhati perut. Mungkin kerana wang, mungkin kerana dendam – Apapun puncanya empat orang manusia telahpun dibunuh kejam. Kita lihat surat khabar untuk hasil siasatan kes ini, walau belum tentu surat khabar memberitakan kebenaran. Pasti dalam seminggu dua ini, surat khabar menjadi rebutan di pasaran. Seperti ketika berlakunya kes adik Nurin Jazlin Jazimin beberapa tahun dulu.

Kembali kepada Aidilfitri, yang aku suka tentang edisi kali ini adalah terdapatnya pegawai polis ditempatkan di sepanjang lebuhraya. Jadi pemandu-pemandu liar terpaksa memandu seperti wanita di usia 60-an. Sekaligus mengurangkan jumlah korban jalanraya dan kemalangan kecil.

Cukup di sinilah untuk entry kali ini. Rasanya aku mahu mula menyusun jadual untuk ke rumah-rumah terbuka. Di sini aku ingin mengambil kesempatan memohon maaf sekiranya tulisan aku pernah menyakiti yang membaca. Bukankah keindahan Syawal terletak pada tradisi saling bermaafan? Jadi maafkanlah aku. Salam Aidilfitri.

15 July 2010

Piala Dunia


Piala yang mengubah dunia

‘Sepanyol Juara. Selepas menakluk bumi Eropah tahun 2008, bola sepak Sepanyol berjaya mendaki puncak tertinggi bola sepak dunia. Kali ini mereka menjulang anugerah dambaan setiap pemain, Piala Dunia buat kali pertama. Sepanyol berjaya membuktikan bahawa mereka bukan saja memiliki kelab paling berjaya dalam sejarah dunia, Real Madrid tetapi juga pasukan kebangsaan yang tidak akan dipandang enteng lagi di masa hadapan.’

Itulah klimaks kepada sebuah kejohanan paling mashyur di dunia. Tetapi sayang aku bukanlah peminat Sepanyol, walau tidak membencinya seperti membenci pasukan Brazil. Malahan di perlawanan akhir aku menyorak untuk Belanda, yang merupakan pilihan kedua kejohanan buatku selepas Itali tersadung pada rintangan awal. Aku menyokong Itali sejak kanak-kanak lagi, sejak mula bermain Goal keluaran Jaleco di konsol Micro Genius. Dan setelah Itali tumbang pada Slovakia, Piala Dunia 2010 sudah 80% berakhir buatku.

Aku seorang peminat bola sepak. Aku mengikuti Liga Inggeris secara konsisten. Tetapi kali ini aku ingin menilai secara umum impak Piala Dunia.

Apakah impak Piala Dunia kepada penduduk dunia? Sudah tentu akan ada kanak-kanak yang terinspirasi dan mula menanam impian untuk ke Piala Dunia, termasuklah kanak-kanak Malaysia. Ada juga yang sudah berusia akan cuba menimbang bola kembali sambil menghidupkan impian yang sudah lama luput. Yang selama ini tidak pernah menonton bola akan mula mengintai-intai. Besar impaknya Piala Dunia bola sepak ini kepada penduduk dunia. Yang disebut tadi adalah antara impak yang sangat jelas. Bagaimana pula dengan impak besar yang kurang disedari?


Setiap anak mata tertuju ke Afrika Selatan


Khusyuk menonton World Cup

Selepas Piala Dunia, dunia seolah-olah bermula semula. Banyak isu-isu besar dunia yang seolah dilupakan. Yang mungkin masih segar hanya isu-isu tempatan bagi penduduk sesebuah negara. Lupakah kita pada tragedi kapal-kapal bantuan ke Gaza? Apa perkembangan terbaru di Palestin? Masihkan saudara-saudara kita dipijak? Semua orang yang sibuk berarak membantah kekejaman Israel bagaikan hilang entah ke mana. Mungkin sudah kehabisan suara setelah menyorak untuk pasukan pilihan. Ini hanya andaian aku - mungkin regim Zionis sedar akan kesan Piala Dunia dan menggunakan sebaiknya bagi mengalih tumpuan dunia.

Selain isu Israel, banyak lagi isu yang ditarik keluar dari media massa. Sudahkah habiskah pergolakkan di selatan Thailand? Sudah redakah demonstrasi dan rusuhan di seluruh dunia? Apa pula yang terjadi ke atas isu-isu sederhana lain? Semua isu seakan tenggelam dek suara kita bersorak. Atau menjadi lekang dek kelekaan kita berjaga malam dan siang. Tidakkah kita sedar bahawa ia merupakan satu impak besar Piala Dunia?

Kita harus sedar bahawa Piala Dunia sebenarnya menguntungkan banyak pihak. Tidak kiralah dari segi ekonomi, politik atau sosial sekalipun. Terlalu banyak pihak yang menjadi kaya berkat sistem perjudian Piala Dunia. Ada juga golongan miskin yang bertambah miskin gara-gara mencuba nasib berjudi. Tidak lupa juga kepada yang mula percaya kepada ramalan haiwan tanpa mengkaji secara saintifik.

Walau begitu, ada juga baiknya Piala Dunia ini jika kita melihat dari sudut positif. Ia seolah menyatukan dunia. Ada keluarga yang bertambah mesra selepas kerap menonton bolasepak bersama, walau ada juga yang berpecah kerananya. Juga Piala Dunia memberikan rehat kepada isi-isi rumah dari pelbagai tekanan. Dan untuk aku, Piala Dunia akan sentiasa dinantikan.



p/s: Sekiranya tragedi adik Aminurrasyid berlaku beberapa hari sebelum Piala Dunia bermula, aku rasa Polis DiRaja Malaysia tak akan dihentam seteruk hari itu.