16 June 2010

Sedikit penjelasan tentang Yahudi

Sebut tentang Yahudi, kebanyakan orang Melayu akan terbayangkan sebuah bangsa yang licik, suka berbuat kejahatan dan merancang untuk menguasai dunia. Telah dijelaskan di entry sebelum ini iaitu Yahudi sebenarnya bukanlah sebuah bangsa tetapi sebenarnya sebuah agama yang diasaskan di kalangan bangsa Israel. Aku telah berjanji untuk menjelaskan sebab kenapa kita tidak boleh melaungkan slogan anti-Yahudi. Jawapannya adalah kerana tidak semua Yahudi berfahaman Zionis.

Bangsa Israel memang diceritakan sebagai sebuah bangsa yang degil, kuat membantah dan selalu melakukan kejahatan di muka bumi. Atas kerana kedegilan mereka, bangsa Israel menjadi bangsa yang paling banyak diutuskan nabi.(setakat diketahui). Mereka memang terkenal berotak cergas dan sering dianggap ancaman sejak dulu lagi. Agama Yahudi berasal dari agama tauhid asli ajaran Nabi Musa a.s yang telah diselewengkan secara sengaja ataupun tidak sengaja. Seperti agama-agama lain, agama Yahudi juga terpecah kepada beberapa bahagian. Untuk entry ini, aku ingin mengetengahkan dua golongan Yahudi.

Yahudi Zionis
Yahudi Zionis adalah golongan yang menyokong pertubuhan Negara Israel. Sebahagian besar daripada mereka menganggap diri mereka sebagai bangsa ‘superior’ atau bangsa pilihan. Mereka banyak menjadikan isi kitab Talmud sebagai asas kepada kepercayaan dan kelakuan mereka. Kitab Talmud merupakan sebuah kitab yang dianggap suci oleh sebahagian penganut agama Yahudi sehingga kini walaupun ianya bukanlah ajaran Nabi Musa a.s. Asal usul Talmud dikatakan ditulis oleh rabbi-rabbi dan pendita-pendita Yahudi. Bagi Yahudi berfahaman Zionis, kitab Talmud dianggap lebih tinggi darjatnya dari Taurat Ini kerana Talmud mengangkat bangsa Israel sebagai bangsa yang lebih dari sekalian bangsa dan membenarkan segala jalan untuk menaikkan bangsa tersebut. Golongan ini memiliki sifat perkauman yang kuat dan merupakan dalang kepada banyak pergolakan di muka bumi.


Ariel Sharon, Yahudi Zionis


Yahudi Neturei Karta
Ada beberapa golongan Yahudi yang menentang penubuhan negara Israel sebelum kedatangan ‘messiah’ mereka. Golongan ini menolak kitab Talmud dan berpegang kepada Taurat (walaupun bukanlah Taurat asal ajaran Nabi Musa a.s yang telah hilang). Kalau kita perasan, mereka juga adakalanya muncul di media dalam keadaan berdemonstrasi menentang penjajahan Israel terhadap Palestin. Golongan ini biasanya memakai kot hitam dan bertopi. Mereka membantah kekejaman terhadap rakyat Palestin serta marah dengan gerakan Zionis yang memakai nama Yahudi. Agama Yahudi melarang membunuh tanpa hak sedangkan Zionis melakukannya hampir setiap hari. Mereka juga menubuhkan gerakan ‘Neturei Karta’ yang bererti ‘Guardians of the City’ ataupun penjaga kota dengan tujuan menyatakan pendirian mereka dan menentang fahaman Zionisme.
Yahudi membantah Zionism

Yahudi membantah penjajahan ke atas Palestin


Bertemu Presiden Iran

Bertemu Yasser Arafat

Walaupun ada sesetengah daripada kita yang sangsi dengan Yahudi Ortodoks ini, kita haruslah menilai dengan mata hati. Selagi mereka tidak berbuat kejahatan, kita tiada hak untuk memusuhi mereka.

Jadi, siapakah sebenarnya yang patut dimusuhi? Janganlah membenci bangsa Israel sewenangnya kerana bangsa seseorang itu tidak dapat diubah dan telah ditetapkan Allah s.w.t. Yang patut dibenci sebenarnya adalah perbuatan jahat, samada terang mahupun tersembunyi. Sayangnya tidak ramai yang mengetahui.

15 June 2010

Monolog menanti subuh berlabuh

Aku telah menghabiskan satu semester yang memenatkan. Aku telah kurangkan waktu tidur semasa musim peperiksaan. Aku telah cuba bersedia lebih awal dari biasa. Sewaktu keputusan keluar, aku menghabiskan berjam-jam di depan komputer mencuba nasib. Aku tidak pernah sedebar ini sebelumnya. Hasilnya…

Alhamdulillah. Akhirnya aku merasa anugerah itu di zaman ijazah. Mungkinkah ini pengakhiran bermakna?

14 June 2010

Perbezaan Israel, Yahudi dan Zionisme


Umum mengetahui apa yang telah berlaku kepada kapal-kapal bantuan kemanusiaan ke Gaza. Kapal-kapal tersebut diserang dan aktivis-aktivis ditawan oleh tentera Israel. Berikutan tindakan tentera Israel yang tidak berperikemanusiaan itu, bantahan dan demonstrasi telah diadakan hampir di setiap Negara. Tidak kurang juga dengan pihak-pihak yang cuba mengambil tindakan undang-undang terhadap Israel. Di mana saja dari kedai kopi, masjid-masjid hinggalah ke laman-laman sosial seperti Facebook, semua orang bercakap-cakap mengenai tindakan terbabit.

‘Banyak pihak melaungkan slogan anti-Israel dan anti-Yahudi tetapi agak kurang slogan anti-Zionisme dilaungkan.’ Ramai pihak yang menganggap tiada perbezaan bagi ketiga-tiga istilah ini.

Hari ini aku rasa ingin menjelaskan perbezaan antara perkataan Israel, Yahudi dan Zionisme.

Apakah maksud Israel? Israel dalam bahasa Ibrani bermaksud ‘Hamba(Isra) Allah(El)’ dan dikatakan nama gelaran Nabi Yaakub a.s kerana kesolehannya. Israel boleh dirujuk sebagai sebuah bangsa dari keturunan Nabi Yaakub a.s. Perhatikan kata kuncinya – ‘bangsa’.

Apakah maksud Yahudi? Perkataan Yahudi banyak disebut di dalam Al-Quran. Perkataan ini diambil sempena nama anak Nabi Yaakub a.s., Yahuza. Jika anda selalu membaca tafsir Quran, anda akan menjumpai banyak perkataan Yahudi dan juga Israel tetapi keduanya merujuk kepada kelompok yang berlainan walupun seakan-akan sama. Allah s.w.t banyak menggunakan perkataan Yahudi untuk merujuk kepada bangsa Israel yang menyimpang dan kufur kepada-Nya. Perkataan Israel pula digunakan untuk merujuk kepada umat Nabi Musa a.s, Nabi Harun a.s, Nabi Isa a.s dan beberapa Nabi lain. Boleh disimpulkan Yahudi bermaksud sebuah agama yang diasaskan di kalangan bangsa Israel. Perhatikan kata kuncinya – ‘agama’.

Apakah maksud Zionisme? Zionisme diasaskan oleh sebilangan manusia pada abad ke-19. Ia membentuk sebuah gerakan politik, Zionis yang asalnya bertujuan mendirikan Negara Israel di tanah Palestin. Gerakan ini diasaskan oleh beberapa tokoh Yahudi antarabangsa. Setelah tertubuhnya negara haram Israel pada 1948, gerakan ini dikekalkan dengan tujuan baru iaitu menyokong kepentingan negara tersebut. Boleh disimpulkan di sini, Zionisme membawa maksud fahaman atau ideologi yang menyokong kewujudan Negara Israel. Mereka yang menyokong ideologi ini tidak semestinya berbangsa Israel. Perhatikan kata kuncinya – ‘ideologi’ .

Apakah kesimpulannya di sini? Ingin aku jelaskan bahawa kita tidak boleh meletakkan ketiga-tiga istilah ini di bawah satu golongan. Kita tidak boleh sewenangnya-wenangnya melaungkan slogan anti-Israel kerana tidak semua yang berbangsa Israel itu beragama Yahudi, ada yang beragama Islam, Kristian dan lain-lain. Kita juga tidak boleh melaungkan slogan anti-Yahudi kerana tidak semua Yahudi itu berfahaman Zionis. Yahudi terbahagi kepada beberapa golongan antaranya Yahudi ortodoks dan Yahudi zionis(Perbezaan dua golongan ini insyaallah akan aku jelaskan di entry lain). Yang mungkin boleh ditentang adalah ideologi zionisme kerana ideologi inilah yang membenarkan segala kejahatan negara Israel seperti yang kita ketahui.

Janganlah membenci apa yang tidak kita kenal.

p/s: Aku menulis dari apa yang aku tahu, maaflah jika ada kesilapan. Hanya Allah s.w.t pemilik segala pengetahuan.

09 June 2010

Ulasan Filem - la Tigre e la Neve


Aku suka menonton filem. Filem boleh memberi inspirasi yang besar dalam hidup. Dengan wujudnya blog ini, aku berhasrat untuk memberi pendapat kepada filem-filem yang telah aku tonton. Filem yang bakal diulas tidak semestinya filem baru.

Untuk entry kali ini, aku memilih sebuah filem Itali, la Tigre e la Neve (The Tiger and The Snow) yang bergenre komedi romantik. Ia mengisahkan seorang lelaki yang berusia lingkungan 40-an, Attilio de Giovanni (Roberto Begnini), duda beranak dua yang cuba memikat seorang wanita. Wanita tersebut, Vittoria (Nicoletta Braschi)
tidak mengendahkan Attilio sehinggalah Attilio menunjukkan cinta sejati ketika Vittoria berada di dalam koma sewaktu di Iraq. (Untuk info selanjutnya sila cari sendiri)

Jalan Cerita: Berjela tetapi penuh isi bermakna.
Lakonan: Kesemuanya bermutu, terutamanya watak Attilio.

Ulasan
Filem ini sebuah filem yang unik. Ia tidak memerlukan pelakon-pelakon muda berwajah komersial. Jalan ceritanya juga tidak terlalu market-oriented. Filem ini mungkin sangat membosankan pada kebanyakan orang. Begitu juga pada aku ketika menontonnya untuk 50 minit pertama (Aku tertidur beberapa jam sebelum sambung menonton).
Walaubagaimanapun, beberapa bahagian dalam filem ini sangat menarik padaku, terutamanya 15 minit terakhir. Entah kenapa aku sangat terinspirasi selepas memikir-mikir semula filem ini. Pengakhiran cerita yang sangat manis. Roberto Begnini memang berbakat.

p/s: Filem ini membuatkan aku mencari filem-filem Roberto Begnini yang lain dan terjumpa ‘La Vita e Bella’, sebuah filem yang lebih menarik dan bermakna.

Mendakap hati


Aku adalah seorang yang membosankan pada kebanyakan orang. Aku meminati perkara-perkara yang hanya sebilangan manusia meminatinya. Tutur kataku tidak indah, bicaraku tidak lancar, luahanku tidak ramai yang penuh minat mendengar. Aku tidak pandai berbual dengan orang lain. Sering saja aku kekok untuk berborak lama. Selalunya aku mengambil masa yang panjang untuk mesra dengan kenalan baru. Orang selalu tertanya-tanya bagaimanakah sebenarnya personaliti aku.

Zaman kanak-kanak dan pra remajaku dahulu, aku seorang yang periang. Miliki ramai kenalan. Berborak dengan siapa sahaja. Entah sejak bila aku menjadi begini, pemalu dan kurang keyakinan diri.

Walaubagaimanapun, entah kenapa hampir setiap hari yang telah aku lalui aku gembira. Aku jarang bersedih, menyesal dan membenci diri sendiri. Aku hargai setiap kurniaan yang telah penciptaku limpahkan. Bakatku yang zahir dan tersembunyi, adalah yang teristimewa padaku.

Ya, walaupun aku seorang yang membosankan di mata orang lain, aku sebenarnya sangat terhibur menjadi diri sendiri. Aku tidak perlu banyak berpura-pura. Aku rasa itulah hukumnya. Kadang kita cuba menjadi seorang yang menyenangkan di mata orang lain, tetapi mengabaikan prinsip dan minat sendiri.

Sehingga kini, aku bahagia dalam banyak perkara..

Alhamdulillah.

Suara dari dinding tandas


Cuba kita fikir, di dalam dunia yang penuh sesak ini, bilakah waktunya kita bersendirian? Hampir setiap aktiviti yang kita lakukan dikelilingi orang lain. Konsep ‘privacy’ amat bernilai di dunia moden kini. Walaubagaimanapun, ada sejenis tempat yang hampir setiap orang bersendiri. Ya, tempat itu adalah tandas.

Kadang-kadang di pintu tandas awam kita akan terjumpa pelbagai hasil seni individu-individu kreatif, misalnya nombor telefon dan lukisan nakal bertaraf tadika. Yang aku sering terfikir, macam manalah individu-individu tersebut boleh meluangkan masa berkarya di situ. Siap membawa ‘pen marker’ menunaikan hajat.

Walaupun tandas adalah tempat yang hina dan kotor bagi kebanyakan orang, aku sangat menghargai tandas. Selain memberi ruang untuk melepaskan apa yang dipendam, tandas juga memberikan aku masa untuk berfikir. Ketika bercangkung ataupun duduk bersendirian itulah ‘masa-masa emas padaku’. Banyak idea terlahir dari aktiviti tersebut. Ini kerana aku lebih fokus dan tenang dalam berfikir di masa-masa emas ini.

Hargailah tandas anda, janganlah sampai kita terpaksa berkongsi satu bilik di tandas kelak.

Kertas-kertas di alam maya


Blog. Blog sering saja menjadi satu medan bagi individu untuk meluahkan perasaan. Berasal dari gabungan perkataan ‘web log’, blog bererti catatan di laman web. Biasanya blog mengandungi luahan apa sahaja, satu konsep yang juga dimiliki oleh diari. Bezanya, diari jarang diterbitkan kecuali diari individu-individu ternama. Rasanya untuk menjadi inspirasi kepada mereka yang ingin berjaya. Blog mendukung pelbagai fungsi – catatan peribadi, informasi dan juga perniagaan.

Aku percaya, mereka yang menulis blog berfungsi catatan peribadi mengharapkan luahan mereka didengari. Mereka mungkin beranggapan melalui tulisan mesej yang disampaikan akan lebih jelas dan difahami. Jika tidak penulis blog mengharapkan dirinya difahami, tentu ia mengharapkan dirinya dikagumi. Dan untuk dikagumi, biasanya kita akan membuat perkara-perkara yang luar dari kebiasaan.

Kadang-kadang seseorang individu yang kita kenali di realiti berbeza benar perwatakkannya di dalam blog. Mungkin dia seorang yang pasif dan pemalu di luar tetapi sangat aktif dan lantang di blognya. Ini mungkin kerana lainnya sekatan dan kekangan di dua dunia ini, maka lahirlah dua personaliti. Dua watak berbeza di dua dunia berbeza – ‘Hamba di alam nyata, Raja di alam maya’.


Kita mungkin tidak boleh melakukan segalanya namun kita boleh menulis segalanya. Inilah kelebihan blog yang menjadikannya satu fenomena dewasa ini. Fenomena yang terlahir dari internet ini telah memberikan pengalaman berbeza kepada setiap individu, baik ataupun buruk. Pernah terfikir bagaimana kehidupan kita kini tanpa internet? Rasanya tanpa internet kita akan lebih banyak bergerak dari duduk setempat. Dan tanpa internet, apa agaknya yang akan menjadi hobi kita?