09 June 2010

Kertas-kertas di alam maya


Blog. Blog sering saja menjadi satu medan bagi individu untuk meluahkan perasaan. Berasal dari gabungan perkataan ‘web log’, blog bererti catatan di laman web. Biasanya blog mengandungi luahan apa sahaja, satu konsep yang juga dimiliki oleh diari. Bezanya, diari jarang diterbitkan kecuali diari individu-individu ternama. Rasanya untuk menjadi inspirasi kepada mereka yang ingin berjaya. Blog mendukung pelbagai fungsi – catatan peribadi, informasi dan juga perniagaan.

Aku percaya, mereka yang menulis blog berfungsi catatan peribadi mengharapkan luahan mereka didengari. Mereka mungkin beranggapan melalui tulisan mesej yang disampaikan akan lebih jelas dan difahami. Jika tidak penulis blog mengharapkan dirinya difahami, tentu ia mengharapkan dirinya dikagumi. Dan untuk dikagumi, biasanya kita akan membuat perkara-perkara yang luar dari kebiasaan.

Kadang-kadang seseorang individu yang kita kenali di realiti berbeza benar perwatakkannya di dalam blog. Mungkin dia seorang yang pasif dan pemalu di luar tetapi sangat aktif dan lantang di blognya. Ini mungkin kerana lainnya sekatan dan kekangan di dua dunia ini, maka lahirlah dua personaliti. Dua watak berbeza di dua dunia berbeza – ‘Hamba di alam nyata, Raja di alam maya’.


Kita mungkin tidak boleh melakukan segalanya namun kita boleh menulis segalanya. Inilah kelebihan blog yang menjadikannya satu fenomena dewasa ini. Fenomena yang terlahir dari internet ini telah memberikan pengalaman berbeza kepada setiap individu, baik ataupun buruk. Pernah terfikir bagaimana kehidupan kita kini tanpa internet? Rasanya tanpa internet kita akan lebih banyak bergerak dari duduk setempat. Dan tanpa internet, apa agaknya yang akan menjadi hobi kita?

No comments: