14 June 2010

Perbezaan Israel, Yahudi dan Zionisme


Umum mengetahui apa yang telah berlaku kepada kapal-kapal bantuan kemanusiaan ke Gaza. Kapal-kapal tersebut diserang dan aktivis-aktivis ditawan oleh tentera Israel. Berikutan tindakan tentera Israel yang tidak berperikemanusiaan itu, bantahan dan demonstrasi telah diadakan hampir di setiap Negara. Tidak kurang juga dengan pihak-pihak yang cuba mengambil tindakan undang-undang terhadap Israel. Di mana saja dari kedai kopi, masjid-masjid hinggalah ke laman-laman sosial seperti Facebook, semua orang bercakap-cakap mengenai tindakan terbabit.

‘Banyak pihak melaungkan slogan anti-Israel dan anti-Yahudi tetapi agak kurang slogan anti-Zionisme dilaungkan.’ Ramai pihak yang menganggap tiada perbezaan bagi ketiga-tiga istilah ini.

Hari ini aku rasa ingin menjelaskan perbezaan antara perkataan Israel, Yahudi dan Zionisme.

Apakah maksud Israel? Israel dalam bahasa Ibrani bermaksud ‘Hamba(Isra) Allah(El)’ dan dikatakan nama gelaran Nabi Yaakub a.s kerana kesolehannya. Israel boleh dirujuk sebagai sebuah bangsa dari keturunan Nabi Yaakub a.s. Perhatikan kata kuncinya – ‘bangsa’.

Apakah maksud Yahudi? Perkataan Yahudi banyak disebut di dalam Al-Quran. Perkataan ini diambil sempena nama anak Nabi Yaakub a.s., Yahuza. Jika anda selalu membaca tafsir Quran, anda akan menjumpai banyak perkataan Yahudi dan juga Israel tetapi keduanya merujuk kepada kelompok yang berlainan walupun seakan-akan sama. Allah s.w.t banyak menggunakan perkataan Yahudi untuk merujuk kepada bangsa Israel yang menyimpang dan kufur kepada-Nya. Perkataan Israel pula digunakan untuk merujuk kepada umat Nabi Musa a.s, Nabi Harun a.s, Nabi Isa a.s dan beberapa Nabi lain. Boleh disimpulkan Yahudi bermaksud sebuah agama yang diasaskan di kalangan bangsa Israel. Perhatikan kata kuncinya – ‘agama’.

Apakah maksud Zionisme? Zionisme diasaskan oleh sebilangan manusia pada abad ke-19. Ia membentuk sebuah gerakan politik, Zionis yang asalnya bertujuan mendirikan Negara Israel di tanah Palestin. Gerakan ini diasaskan oleh beberapa tokoh Yahudi antarabangsa. Setelah tertubuhnya negara haram Israel pada 1948, gerakan ini dikekalkan dengan tujuan baru iaitu menyokong kepentingan negara tersebut. Boleh disimpulkan di sini, Zionisme membawa maksud fahaman atau ideologi yang menyokong kewujudan Negara Israel. Mereka yang menyokong ideologi ini tidak semestinya berbangsa Israel. Perhatikan kata kuncinya – ‘ideologi’ .

Apakah kesimpulannya di sini? Ingin aku jelaskan bahawa kita tidak boleh meletakkan ketiga-tiga istilah ini di bawah satu golongan. Kita tidak boleh sewenangnya-wenangnya melaungkan slogan anti-Israel kerana tidak semua yang berbangsa Israel itu beragama Yahudi, ada yang beragama Islam, Kristian dan lain-lain. Kita juga tidak boleh melaungkan slogan anti-Yahudi kerana tidak semua Yahudi itu berfahaman Zionis. Yahudi terbahagi kepada beberapa golongan antaranya Yahudi ortodoks dan Yahudi zionis(Perbezaan dua golongan ini insyaallah akan aku jelaskan di entry lain). Yang mungkin boleh ditentang adalah ideologi zionisme kerana ideologi inilah yang membenarkan segala kejahatan negara Israel seperti yang kita ketahui.

Janganlah membenci apa yang tidak kita kenal.

p/s: Aku menulis dari apa yang aku tahu, maaflah jika ada kesilapan. Hanya Allah s.w.t pemilik segala pengetahuan.

3 comments:

schafiq tamizi said...

ALHAMDULILLAH..
baru jelas sekarang..
terima kasih dengan info mu ehkawan

Saudara Terpuji said...

Sama-sama. Memang nama Schafiq ke?

D'zunnur said...

memang...

ape benarkah zionis itu 'false jewish'???