08 July 2010

Islam Liberal?

Baru-baru ini aku berbincang ilmiah dengan seorang rakan di Facebook. Di dalam perbincangan tersebut, aku mengutarakan pandangan yang agak berbeza dengan orang lain. Tiba-tiba seorang daripada yang turut berbincang seolah-olah menempelak aku mengatakan aku cuba menegakkan fahaman Islam liberal. Puncanya adalah aku mengatakan bahawa “tidak salah kita belajar dari bukan Islam asalkan ianya perkara baik dan tidak bertentangan dengan syarak”. Aku mengambil contoh – sikap berfikir positif dan sihat dari agama Buddha.

Sahabat yang menentang ini menulis – “nak contohi agama buddha kononnya berfikiran positif, tidakkah itu cuba mengatakan Islam itu tidak berfikiran positif ataupun Islam itu bukan agama memenuhi fitrah manusia /xlengkap”. Aku agak tersentak membaca komen tersebut ditambah lagi sebelum itu dia mengatakan seolah-olah aku ini seorang yang liberal.

Aku tidak pernah mengatakan bahawa Islam itu tidak lengkap untuk memenuhi fitrah manusia. Bahkan aku berpegang bahawa Islam merupakan satu-satunya agama yang diredhai Allah S.W.T dan merupakan agama yang cukup sifatnya.

Apakah makna liberal?

http://www.thefreedictionary.com/liberal -
a. Not limited to or by established, traditional, orthodox, or authoritarian attitudes, views, or dogmas; free from bigotry.
b. Favoring proposals for reform, open to new ideas for progress, and tolerant of the ideas and behavior of others; broad-minded.


Di Malaysia, Islam liberal di Malaysia telah lama ditafsirkan sebagai budaya di dalam Islam yang menghalalkan beberapa perkara yang dilarang ataupun tidak dilarang secara khusus di dalam syarak. Ianya berlandaskan akal fikiran dan logik mahupun berlandaskan hujah yang tidak teguh.
Berfikir berlandaskan logik semata merupakan pengaruh dari pemikir-pemikir dunia barat.

Aku juga mengakui akan bahayanya Islam liberal ini untuk jangka masa panjang. Ianya adalah kerana golongan Islam liberal inginkan kebebasan duniawi dalam beberapa perkara. Mereka yang liberal ini menggunakan asas yang tidak kukuh dalam mempertahankan perbuatan-perbuatan salah mereka. Sebahagaian ayat Quran diambil manakala sebahagian yang lain ditolak demi menyokong tindakan mereka. Misalnya memperjuangkan kebebasan dan hak individu serta hak persamaan lelaki dan wanita dalam segala bidang.

Contoh Islam liberal


Dr Amina Wadud yang memperjuangkan kesamarataan jantina sedang mengimamkan Solat Jumaat. Jemaahnya terdiri daripada campuran lelaki dan wanita, berhijab dan tidak berhijab. (Aku tidak mengkaji secara terperinci tentang Amina Wadud ini, tetapi dari sedikit yang aku baca, dia boleh dikategorikan sebagai liberal, harapnya aku tidak terfitnah)
Apapun itu Islam liberal, bagaimana dengan berfikiran terbuka dalam Islam?

Tidak salah kita berfikiran terbuka dalam Islam, asalkan ianya berasas dan tidak membabi buta atau melulu dengan cara menghalalkan yang haram. Berfikiran terbuka akan membuka pelbagai pintu ilmu. Sesetengah orang sukar untuk menerima perkara-perkara baru yang tidak pernah dibahaskan secara terang oleh Rasulullah S.A.W, kemudian menganggap orang yang boleh menerimanya sebagai liberal. Fikiran tertutup ini sebenarnya ada juga bahayanya, iaitu ilmu akan sukar berkembang.

Apakah salahnya kita belajar perkara positif daripada bukan Islam? Asalkan tidak mensyirikkan Allah S.W.T atau berlanggar dengan syarak, aku rasa tiada masalah untuk menerimanya. Atas pemikiran sedemikian aku disangka menegakkan fahaman Islam liberal.

Ingatlah, secara perbuatan kita memang tidak akan bebas, kita diikat oleh hukum-hukum Allah S.W.T. Akan tetapi, Allah S.W.T tidak melarang kita berfikiran bebas. Allah S.W.T menghukum hamba-Nya melalui perbuatan mereka, bukan pemikiran mereka. Maka berfikirlah seluas mungkin, selama mana kita diberi akal fikiran.

07 July 2010

Diari Praktikal versi resah gelisah


Kompleks Pertama (Gambar entah bila)

Seorang rakan kerap menceritakan tentang hari-hari praktikal di dalam blog miliknya yang terkenal, Jari Berbicara. Oleh kerana ketandusan idea seketika, aku rasa di dalam penulisan kali ini aku juga ingin menceritakan dengan ringkas tentang perjalanan praktikalku.

Aku menjalani latihan praktikal di UDA Pertama Sdn Bhd, anak syarikat UDA Holdings Bhd. UDA Pertama berpengkalan di Kompleks Pertama, Jalan Tuanku Abdul Rahman. Syarikat ini menguruskan Kompleks Pertama dari segi penyewaan, pengurusan dan jual beli serta menguruskan beberapa harta UDA Holdings.

Elaun bulanan adalah sederhana buat seorang pelatih, RM500. Kerjanya pula turun dan naik - Kadang terlampau banyak sehingga menyumpah diri sendiri dalam hati, kadang juga tiada kerja sehingga keras di depan komputer (tetapi selalunya kurang kerja sehingga menjadi gelisah). Oh ya, kerana tiada kerjalah aku mula aktif menulis blog yang sebelum ini dibiarkan kosong selama dua tahun.

Ketika catatan ini ditulis, ada enam orang pelatih di sini termasuk aku. Dua lelaki dari Universiti Malaya, seorang perempuan dari Universiti Industri Selangor dan dua lagi perempuan yang juga dari taman yang sama denganku, Universiti Teknologi MARA. Mereka ini baik-baik orangnya, membuatkan aku segan untuk mengila-gila di sini.



Ruang tempat aku beroperasi
Lihatlah fail-fail yang tersusun cantik


Selalunya aku datang ke pejabat seawal jam 7.40 pagi dan pulang jam 6.30 petang walaupun waktu pejabat adalah dari jam 8.30 pagi hingga jam 5.00 petang. Ia bukanlah kerana aku terlalu berdedikasi tetapi kerana aku menumpang kereta abang ke pejabat. Atas soal keselamatan jalan raya dan mengelakkan pembaziran, Ibu mahukan aku menumpang abang kerana tempat kerjanya betul-betul bersebelahan pejabatku.

Sebenarnya aku berharap hari-hari praktikalku cepat habis. Bukan kerana aku diseksa di sini cuma aku rindu hendak menyambung belajar atau mendapatkan kerja sebenar. Dengan menjadi pelatih, aku rasa terbatas dan tidak bebas dalam pelbagai perkara. Apapun aku sentiasa mendoakan perjalanan praktikalku semakin baik hari demi hari.

01 July 2010

Masih khayal

Seperti si gila yang lain, aku suka berkhayal. Khayalku bukan khayal sebarangan, ia tidak mengira waktu dan tempat. Tidak cukup di waktu lapang, kadang ketika aku sedang mendengar percakapan orang pun ia datang. Tak kiralah samada si pecakap sedang bercakap kepada sekumpulan orang ataupun kepada aku seorang.

Seorang bekas pensyarahku di Shah Alam ada mengatakan, “Orang Melayu khayalnya selalu lebih. Bangsa lain juga berkhayal tetapi tidak sebanyak orang Melayu”. Benar juga katanya itu, mungkin kerana banyak berkhayal orang Melayu menjadi bangsa yang kreatif. Kreatif Melayu letaknya di seni halus, seni bahasa, musik, hiasan rumah dan pelbagai lagi. Malangnya orang Melayu kurang kreatif dalam perniagaan.

Seorang yang suka berkhayal jarang kelihatan cergas, dia selalu kelihatan perlahan dan banyak termenung. Entah mengapa sejak dulu lagi aku memang begini. Di dalam kelas selalunya sukar untuk aku menumpukan perhatian. Sangat kerap terutamanya selepas setengah jam pertama, mudah saja fikiranku melayang.

Jika direnung semula, tiada salahnya selalu berkhayal. Di dalam khayal kita merajai bahagia. Di dalam khayal kita tidak merasa sakitnya duka. Di dalam khayal kita segala-galanya. Pemikir-pemikir hebat juga selalu berkhayal. Asalkan tanggungjawab tidak terabai, nah khayallah kau sampai disergah.

28 June 2010

Di setiap zaman


Kalau kita mengkaji semula setiap zaman, kita akan temui banyak persamaan. Antaranya;

-Ada orang yang kaya, juga ada orang yang miskin.
-Ada yang berbuat kejahatan, juga ada yang berbuat kebaikan.
-Ada pemimpin yang adil, juga ada pemimpin yang zalim.
-Adanya negara atau empayar berkuasa besar yang dominan.
-Ada golongan yang mengakui adanya tuhan, juga ada yang mendustakan.
-Adanya golongan yang merasakan kemajuan teknologi mampu melakukan segala-galanya dan golongan yang merasakan zaman mereka zaman paling maju.
-Adanya peringkat kerosakan akhlak.
-Adanya golongan yang mempertikaikan hukum tuhan.

Setiap zaman yang baru seolah-olah merupakan ulangan dari zaman terdahulu. Hari ini kita mungkin kita merasakan zaman inilah zaman paling maju tetapi jangan lupa, orang-orang di zaman dulu juga fikir begitu. Hari ini mungkin kita merasakan masyarakat sudah terlalu rosak tetapi jangan lupa, orang-orang di zaman dulu sudah lama fikir begitu. Apabila manusia merasakan diri mereka sudah maju, mereka berpendapat bahawa hukum tuhan sudah tidak relevan dan ketinggalan zaman. Mereka berterusan mengulangi kesilapan orang-orang terdahulu. Orang-orang seperti aku, kau dan dia, sebenarnya sudah wujud sebelum ini walaupun di dalam keadaan yang lain. Dalam ertikata lain, adanya orang-orang seperti kita di setiap zaman.

Dan setelah mengkaji semua ini, aku mendapat kesimpulan - Quran itu sesuai untuk setiap zaman, walaupun tidak ramai yang mahu berpegang padanya.

Saat Manis di Majlis Sa’at dan Anis


26 Jun lalu aku ke Bentong, Pahang. Tujuannya menghadiri majlis menyambut menantu di rumah seorang rakan. Pasangan pengantin merupakan teman sekelas sewaktu diploma di UiTM Jengka dulu. Berlima dari Kuala Lumpur – Syafiq, Firdzus, Rinzal, Azim dan aku, kereta kami meluncur konon-kononnya laju di lebuhraya timur-barat.

Majlis perkahwinan boleh dikatakan dibuat separa tradisional di mana adanya persembahan silat yang amat dinikmati oleh kawan-kawan aku. Tidak henti mereka memandang dalam keterujaan, terutamanya Rinzal. Selesai bertemu dan mengucapkan tahniah kepada pasangan pengantin Sa’atarinur dan Anis Amirah, badan kami berpusu-pusu menuju ke tempat makan. Maklumlah dari pagi mengosongkan perut untuk menikmati sepenuhnya lauk kenduri. Lauknya agak sedap, menyebabkan aku menebalkan muka menambah dan menjadi punca aku disindir dua kali oleh seorang makcik tempatan.

Tentang Sa’at dan Anis, mereka pasangan secocok. Dari awal zaman diploma dulu mereka sudah mesra. Teringat aku Sa’at kadang-kadang menceritakan tentang Anis atau meminta nasihat cinta. Mereka selalu bersama, di dalam kelas juga di pasar malam dan pasar rabu. Begitu rapat mereka sehingga digelar Saatariwansyah dan Anis Septriasa. Tak sangka mereka akhirnya memilih untuk mengakhiri zaman bujang di usia muda, 23. Aku bangga dengan mereka. Sa’at dan Anis, aku mendoakan kesejahteraan dan kebahagian dalam rumahtangga kamu berdua.

Selesai makan, sampailah rakan-rakan lain yang turut hadir dari Kuala Lumpur. Kami berborak kosong bertanya khabar seperti biasa. Ada pula sesi bergambar selepas itu bagi kami merakamkan kenangan bersama pasangan pengantin. Hati aku sedikit kecewa kerana aku menjangkakan untuk bertemu hampir keseluruhan rakan diploma tapi yang datang tidak sampai separuh pun.

Sesudah beransur, kami singgah di sebuah perhentian bas. Khaidhir temanku membawa keluar sebiji kek coklat. Oh ya, kami membuat kejutan harijadi kepada Firdzus dan Syafiq, sebiji kek dan sepasang kasut merupakan hadiah bersama kami kepada Firdzus. Buat Syafiq, kek dan kad sajalah hadiah kami memandangkan dia orang berada dan tidak mengharap pemberian kami. Apa pun, Salam hari jadi sahabat-sahabat akrabku..

Dalam perjalanan pulang kami singgah minum di Genting Sempah dan KLCC sebelum mengakhiri pertemuan dengan pulang ke rumah masing-masing. Terlepas akhirnya rindu aku untuk mengusik Azim, mendengar luahan perasaan Syafiq, cerita-cerita akademik dan kerjaya Rinzal, kisah-kisah masyarakat dari Khaidhir dan pelbagai topik kehidupan bersama Firdzus. Pertemuan dengan rakan-rakan diploma selalunya menghiburkan hati. Aku tersenyum dalam perjalanan pulang seperti selalunya. Haii…Entah bila boleh berjumpa lagi.

23 June 2010

Ulasan Filem – Funny People


Filem ini mengisahkan tentang seorang artis komedi yang dilimpahi kejayaan dan populariti, George Simmons (Adam Sandler) yang dimaklumkan doktor akan meninggal kerana sejenis leukemia. Walaupun disanjung oleh ramai peminat, George sebenarnya kesunyian kerana masalah dengan keluarga dan bekas teman wanita. Mengetahui dirinya akan pergi dalam masa terdekat, George mengenang kembali kehidupannya dan membuat persediaan untuk meninggalkan dunia tanpa rasa kesal.

Dalam masa yang sama, Ira Wright (Seth Rogen) pekerja kedai hot-dog yang bercita-cita menjadi artis komedi berjaya, sering mencuba nasibnya dengan melakukan komedi pentas (stand-up comedy). Ira mempunyai dua orang rakan serumah iaitu Leo Koenig (Jonah Hill), seorang ahli komedi amatur yang berbakat dan Mark Taylor Jackson (Jason Schwartzman), seorang pelakon sitkom. Kebetulan pada suatu malam Ira dan George membuat persembahan di tempat yang sama. Tertarik dengan kebolehan Ira, George melamar Ira untuk menjadi penulis skrip dan pembantunya. Ira dan George menjadi rapat dan mereka bersiap sedia untuk peninggalan George sehinggalah pada suatu hari.. (sila tonton sendiri)

Jalan Cerita: Berbentuk drama tapi menghiburkan.
Lakonan: Mantap dan berkesan.

Ulasan
Jalan cerita filem ini sebenarnya diinspirasikan dari kehidupan realiti Adam Sandler sendiri. Filem ini lawaknya tidak keterlaluan tetapi cukup untuk membuatkan aku tersenyum. Seth Rogen membawakan wataknya dengan baik di mana Ira kelihatan betul-betul seperti seorang amatur. Jonah Hill dan Jason Schwartzman pula membawa dua watak pelengkap yang menghiburkan. Menariknya lagi, Funny People menampilkan cameo daripada beberapa artis ternama (Eminem, Ray Romano, RZA, Justin Long dan beberapa lagi). Funny People bukan sekadar filem komedi biasa, ia bermain dengan emosi dan membuatkan penonton berfikir. Pada aku, ini filem terbaik Adam Sandler setakat ini.

18 June 2010

‘Tey Tawrek’ di Jalan Masjid India


Sebentar tadi aku ke Jalan Masjid India. Selalunya untuk berjumaat aku ke Masjid Negara tapi atas beberapa sebab aku terpaksa ke Masjid India yang berhampiran saja. Jalan Masjid India sentiasa meriah seperti selalu, sentiasa penuh dengan pelbagai manusia dan sentiasa penuh dengan pelbagai tujuan.. Sekali-sekala, seronok juga melihat pelbagai ragam orang.

Ketika berjumaat, Masjid India sangat padat. Sesetengah jemaah agak kurang beradab merampas tempat orang sesuka hati. Aku yang datang awal terpaksa bersolat di tempat wudhu, kerana tempat aku dirampas dalam pergelutan merebut saf. Tak mengapalah, sabar saja. Bau di tempat wuduk agak ‘gemilang’, menyebabkan aku kurang khusyuk.

Sewaktu keluar dari masjid, aku melihat ramai orang meminta sedekah. Baik yang tua, yang muda, yang kurang anggota badan dan juga yang kelihatan cukup, semua memohon simpati para jemaah. Aku agak kurang selesa melihat pemandangan tersebut, terfikir mengapa mereka meminta-minta walhal ramai yang kelihatan sihat sejahtera.

Dalam perjalanan pulang ke pejabat, aku terlihat seorang pelancong asing (rasanya berbangsa eropah) ditemani dua lelaki tempatan. Kerana berjalan berhampiran mereka, aku terdengar sedikit dari apa yang dibualkan. Dua lelaki tersebut mengajar si pelancong perkataan teh tarik. Mereka menyebut berulang kali – “tey tawrek, tey tawrek”. Si pelancong membuat gaya orang menarik teh sambil turut mengikut – “tey tawrek”. Tersenyum aku mendengar. Mereka mengajar pelancong bahasa tempatan, tapi di dalam gaya sebutan Inggeris. Mungkin si pelancong akan ingat sampai bila-bila bahawa sebutan yang betul sememangnya ‘tey tawrek’, bukan teh tarik. Terfikir sejenak, bagaimanalah orang akan berminat dengan bahasa kita kalau kita sendiri pun tidak menghormati bahasa ibunda ini.